Bayar Zakat Perniagaan Online

Apakah pengertian zakat perniagaan?

Zakat yang diwajibkan ke atas aset perniagaan sama ada berasaskan pembuatan, carigali, peruncitan, perdagangan import/eksport perkapalan, pembekalan, pertanian, perkhidmatan, perbankan kewangan dan sebagainya.

Perniagaan tersebut sama ada dalam bentuk perniagaan persendirian, perniagaan perkongsian sesama Islam atau dengan bukan Islam, perniagaan pelbagai bentuk syarikat, koperasi dan sebagainya. Perniagaan tersebut merangkumi pemilikan swasta atau kerajaan.

Adakah terdapat dalil wajib mengeluarkan zakat perniagaan?

Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat), padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu (kalau diberikan kepada kamu), kecuali dengan memejamkan mata padanya. Dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi sentiasa Terpuji.”
(Surah al-Baqarah ayat 267)

Hadis Nabi S.A.W. sebagaimana dinyatakan oleh Samurah R.A. yang bermaksud:

“Maka sesungguhnya, Rasulullah S.A.W. menyuruh kami mengeluarkan zakat daripada harta yang kami sediakan untuk dijual…”
(Riwayat Abu Daud)

Apakah terdapat dalil wajib berzakat perniagaan bagi syarikat?

Sabda Nabi Muhammad S.A.W yang bermaksud:
“Dan tidak boleh dicampur ternakan yang telah terpisah. Begitu juga tidak boleh dipisah-pisahkan ternakan yang telah bercampur disebabkan takut mengeluarkan zakat. Adapun bagi dua orang yang bercampur ternakannya, hendaklah di selesaikan (zakat) berdasarkan nisbah.
(Riwayat al-Bukhari)

Dalil tersebut menunjukkan bahawa semua jenis perniagaan orang Islam wajib dikeluarkan zakat apabila cukup syarat-syaratnya.
Terdapat pelbagai jenis pemilikan perniagaan yang bertanggungjawab dalam menjalankan aktiviti-aktiviti pengeluaran dan pengagihan barang-barang dan perkhidmatan iaitu:
1-Perniagaan persendirian (tunggal)
2-Perniagaan secara perkongsian
3-Perniagaan syarikat
4-Koperasi

Apakah syarat-syarat wajib zakat perniagaan?

Syarat umum wajib zakat ada lima iaitu Islam, merdeka, sempurna milik, cukup nisab dan cukup haul. Namun dalam satu-satu jenis zakat kadangkala terdapat syarat wajib ditambah dan begitu juga dengan zakat perniagaan. Oleh itu seorang peniaga diwajibkan membayar zakat perniagaan apabila memenuhi syarat-syarat berikut:

1-Islam
2-Merdeka
3-Modal perniagaan yang halal dan begitu juga aktivitinya
4-Genap haul yang dikira dari tarikh perniagaan dimulakan hingga genap setahun perniagaan
5-Cukup nisab pada akhir haul (tahun)
6-Menjalankan perniagaan
7-Milik sempurna dan boleh melakukan tasarruf
8-Niat (bermaksud) untuk berniaga

Borang Bayaran Zakat Perniagaan

© 2023 BayarZakatMalaysia.com All rights reserved.
Privacy Policy